PERUBAHAN PADA LENCANA KOLEJ
SEJARAH KOLEJ
Kolej Vokasional Jasin sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Jasin. kolej ini dibina pada 1 Oktober 1997 dengan kos RM 29 juta dan merupakan sekolah teknik keempat di negeri Melaka yang dibina di bawah Skim Pinjaman Bank Asia (ADB) keempat. KV Jasin terletak di Bukit Telemong Simpang Kelubi, Jasin atas tanah seluas 38 ekar iaitu bekas ladang kelapa sawit.
Pendaftaran 281 orang pelajar kumpulan pertama dari seluruh negara dijalankan pada 5 Mac 2000 dan 98 peratus daripada mereka tinggal di asrama. Pada sesi persekolahan tahun 2001, jumlah pelajar meningkat menjadi 725 orang dengan bilangan guru seramai 46 orang. Pada 16 Januari 2004, Tuan Haji Abdul Aziz bin Omar telah dilantik menjadi pengetua SMT Jasin menggantikan Encik Shabudin bin Man yang bertukar ke Kolej Komuniti Jasin.
SMT Jasin menawarkan tiga aliran kursus kejuruteraan iaitu kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Kejuruteraan Mekanikal. Kumpulan pelajar pertama telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 5 November 2001. Mulai tahun 2014, SMT Jasin telah dinaik taraf menjadi KV Jasin iaitu para pelajar akan mengikuti pengajian peringkat Diploma selama empat tahun. Program pengajian ini selaras dengan Transformasi Pendidikan Vokasional dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.